السبت، 8 يونيو 2019

Syawal 1440 H - Kenanglah kembali Ukhuwwah kerana Ilahi.


بسم الله الرحمن الرحيم

Saudara Mara Sebelah Arwah Abah - Kelantan



Memo syawal 1440 H.  

   "Bikah-bikah naik Van kalu dok abah tingga (cepat2 naik Van kalau tak abah tinggal)" suara ini masih terngiang2 di mindaku, ya ayat inilah yang selalu disebut arwah abahku setibanya syawal pada waktu dahulu. Dulu, ketika aku masih kecil, juga abang2 serta kakak2ku ketika itu masih lagi bergelar 'bujang' setara umur masing-masing, takkan terlepas dari kenangan itu. Usai sahaja solat hari raya aidilfitri abah sudah bersedia dengan jiwa raganya, menghidupkan enjin Van putih kesayangannya, sambil menyuruh anak-anaknya lekas bersiap untuk pulang ke kampung halaman kami. Pernah satu masa tu, ketika Van putih abah sedang bergerak keluar dari halaman rumah tiba-tiba terdengar suara sahutan daripada jauh "tunggu-tunggu" , abangku terlepas Van, kami bergelak sakan sambil abah mencelah "tulah, abah oyak doh, lepah maye rayo nok balik kapong, keno siap awal la (itu la, abah dah pesan awal-awal, lepas solat hari raya nak balik kampung, kena bersiap awal-awal)" sambil hon kereta ditekan-tekan abah "cepat-cepat" . 

 Kami 13 beradik berhimpit-himpit duduk di ruangan tengah dan belakang Van, seingat aku ketika itu aku masih kecil, umur dalam 5 tahun, jadi tak peliklah jika aku rasa selasa duduk di bangku depan Van, aku dan adikku shahidan, serta 'co-pilot' yang setia disisi abah, umiku. Memang rutin abah, jika tibanya hari raya kami mesti akan berkunjung ke rumah saudara mara, memang meriah, dengan van putih abahlah kami berkunjung, dari rumah ke rumah, saudara belah arwah abah ramai di kawasan kota bharu, saudara belah umi pula ramai di kawasan Thailand, memang tak kosong la beg duit raya kami, ziarah rumah tu dapat ziarah rumah ni dapat, yang seronoknya lagi bila dapat jumpa sepupu sepapat di Tumpat.


Saudara Mara Sebelah Arwah Umi -Thailand

Di Thailand pula biasanya kami akan beraya sampai ke kawasan Narathiwat, ingat lagi dulu ssetiap kali abah hendak beraya ke narathiwat abah akan bawa kami naik kereta 'legend' Thailand yang tak beratap, memang penuh satu kereta, terkadang juga sampai dua buah kereta kena bawa, lalu jalan kampung Thailand, hirup udara 'segar' di jalan raya itu sudah biasa bagi kami. Itulah kenangan kami adik beradik waktu kecil cili padi dahulu, dulu aku tidak mengerti lagi kenapa abah begitu bergegas dan galak untuk pulang beraya di kampung serta rumah saudara mara yang ramai itu, aku fikir itu sekadar rutin biasa bila menjelangnya raya, iyalah pergi beraya makan- makan dapat duit raya balik. Jiwa kecil, hati kecil, pemikiran ku juga kecil, namun sekarang bila aku sudah menginjak dewasa, baru ku kenal erti ziarah raya abah suatu masa dahulu, abah tahu yang beliau akan pergi dahulu awal-awal jadi awal-awal lagi abah dah didik anak2 cara untuk bersilaturahim, kenal saudara mara yang jauh juga dekat. 

Dari situ abah ajari kami bahawa bersilaturahim lah yang membuat hidup lebih bahagia, dulu gajet di tangan memang tidak ada, yang ada hanyalah fungsi tangan untuk bersalam, hati untuk mengenal, mulut untuk berkongsi bicara, serta kotak fikiran untuk menyimpan kenangan. Abah ajarkan lagi bahawa bila bersilaturahim ni hati yang gundah akan mampu damai, terkadang diri yang tak mampu untuk senyum pun akan turut tersenyum dengan melihat gelagat dan telatah saudara mara . Allah, rahmatnya sebuah silaturahim yang terbina. Sudah bertahun arwah abah dan umi meninggalkan kami ke tempat yang abadi, alhamdulillah walau abah dan umi sudah tiada ingatan kami kepada saudara mara tidak pernah padam, setiap kali menjelangnya Aidilfitri kami pasti akan bergegas pulang ke kampung halaman ini, inilah sahaja 'harta' dunia akhirat kami, harta ikatan silaturahim yang menjadikan bekalan hablu mina nnas di akhirat nanti, umi dan abah pasti senyum di sana. Al-fatihah buat arwah umi abah yang mendidik kami menjadi 'sebaik2' insan yang menjaga iman dan ihsan. Semoga aku tidak lupa akan pesan-pesan Abah. Wallahua'lam.


------------------------------------------------------------

Jadikan setiap saat dalam hidup kita sebagai kunci untuk bahagia, 
Usah dipertikai  bagaimana silaturahim itu terbina,  
Jika rasa tidak tenteram dengan silaturahim yang dibina,
baliklah kepada hati kita,  
kerana sebaik-baik insan itu adalah mereka yang mampu menghisab dirinya sendiri
serta akur dengan 'janji-janji' Robbi...
Ukhuwwah itu disemai dengan ikhlasnya bicara dan hati,
kerana Hikmah,
Hikmah itu ada pada setiap hati,
Hati yang berpegang teguh pada janji Robbi.
Tersentuhlah wahai sekalian 'hati',
Kerna nyatanya ukhuwwah itu tidak pernah sepi,
Cuma kita sahaja yang ingin menyepi...




#travelogMusafirJalanan
#BawaHatiMenujiIlahi
#IlhamDariIlahi Tinta Dari Hati.
#Bacalah dengan Matahati


ليست هناك تعليقات:

إرسال تعليق