الثلاثاء، 11 أغسطس 2020

Travelog Musafir Jalanan - 9 ~ Amanah dan Mehnah (Ujian) ~

Sekitar Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) | Foto ...


بسم الله الرحمن الرحيم


Tulisan, sudah lama membeku,

Kerana,

Jari jemari sudah lama kaku,

Ilham setiap saat datang setiap saat berhenti,

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Mengasihani,

Saat ini, aku cuba buka mata tenangkan hati, fikirkan kembali, ilham dari Ilahi,

Yang sudah lama aku ‘bekukan’, sudah lama aku 'sisihkan'..

 ---------------------------------------------------------

“Ustazah, macamana kalau saya jawab TIDAK pada soalan ini”, soal seorang murid dari tahun 6 sambil menekan-nekan pensilnya di atas helaian kertas jawapan.

“Apa soalannya”, aku bertanya ragu-ragu, kerana harini merupakan giliran mereka (murid tahun 6) menjawab ujian Psikometrik, di kertas jawapannya hanya ada dua pilihan jawapan, YA atau TIDAK.

Aku menjenguk ke meja murid tadi untuk membaca soalannya. ‘‘Adakah anda percaya bahawa suatu hari nanti anda akan mati?’’.

“Jawapan saya TIDAK ustazah, boleh ke saya jawab begitu?” tanyanya sambil menggaru-garu kepala yang tidak gatal.

“Ustazah nak tanya, agama awak apa?” sambil mata melilau ke arah meja murid, jelas terpampang namanya yang berbinkan ayahnya.

“Mestilah islam ustazah, minggu lepas kan saya ada tasmi’ al-quran dengan ustazah”. “Baik, agama islam, kenapa awak boleh jawab TIDAK kepada salah satu qada’ dan qadar Allah?, kematian adalah merupakan qada’ dan qadar Allah yang wajib kita beriman dengannya”. “Rukun iman, ada berapa?” Aku meneruskan pertanyaan, sambil melihat jam di tangan, lagi 30 minit baki masa yang diberi untuk menjawab kesemua 60 soalan psikometrik.

“Saya tak ingat la ustazah”. Ujarnya sambil senyum-senyum.

“Astaghfirullah, rukun iman ada 6 Haziq”, aku mencelah sambil menggeleng-gelengkan kepala tanda kecewa, masakan tidak, umur 12 tahun belum arif lagi tentang bilangan rukun iman, rukun islam? Wallahua’lam. “ Percaya kepada Allah, percaya kepada Malaikat, percaya kepada Kitab Al-quran, percaya kepada Rasul, percaya kepada hari kiamat dan yang keenam percaya kepada Qada’ dan Qadar”.

 “Haziq, sebagai seorang yang beragama islam, kita perlu beriman (percaya) kepada Qada’ dan Qadar yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t, soal hidup atau mati bukan terletak di tangan kita, Allah, hanya Allah yang berhak menentukan bila dan bagaimana kita akan mati, kita hanya perlu percaya (beriman) dengannya tanpa ragu-ragu.

“Tapi ustazah, ini kan soalan psikometrik, bukan soalan ujian pendidikan islam, seolah-seolah dia tanya pendapat saya, saya bebas untuk menjawabnya YA atau TIDAK, jadi boleh la kan saya jawab TIDAK?”. Umurnya baru belasan tahun, ya 12 tahun, sebentar lagi, lagi beberapa bulan dia akan menginjak ke alam remaja, sekolah peringkat menengah, tapi masih tidak mampu untuk membezakan antara percaya atau pendapat.

Akhirnya, aku menyimpulkan persoalannya tadi dengan sepotong ayat dari Al-quran, 

 "((tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati))”. “Haziq, balik rumah, lepas solat buka quran surah al-imran ayat 185, baca ayat dengan tafsirnya sekali”. 

Aku mengharapkan bahawa esok  masih ada lagi peluang untuk bertanya dan mendengar sendiri darinya, serta menjelaskan kembali tentang maksud beriman kepada Qada’ dan Qadar Allah, antara 39 orang murid hanya dia seorang sahaja yang mengangkat tangan bertanya tentang soalan yang satu itu, jadi bila murid tidak faham tidak mesti tidak, gurulah yang perlu membimbing murid supaya faham tentang ilmu, ilmu dunia (subjek sains, matematik dan sebagainya), Ilmu akhirat (akidah, tauhid, adab, al-quran dan sebagainya), ilmu akhirat, ya ilmu akhirat lebih-lebih lagi bagi guru yang mengajar  subjek pendidikan islam.

 -----------------------------------------------

Dunia makin maju, bumi semakin tua, tahun hijrah sudah masuk 1441 tahun, jadi apa lagi yang perlu kita terapkan kepada generasi sekarang melainkan dengan menyeimbangkan pengetahuan tentang ilmu dunia dan akhirat, jika dunia yang dikejar maka berciciranlah akhirat, jika akhirat yang dikejar maka berbahagialah kita dengan kebaikan yang diperolehi semasa hidup diatas dunia ini.

Tugas guru, dulu aku fikir tugas seorang guru hanya masuk ke kelas dan mengajar, kemudian tamat sahaja masa pembelajaran guru akan keluar begitu sahaja, jadi waktu itu aku sebagai seorang murid hanya menerima ilmu, memahami dan menghafal tanpa mengamalkan. Apa yang diajar hanya ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Sekarang, tiba masa Allah mengamanahkan diri ini untuk merasai sendiri bagaimana beratnya tanggungjawab seorang guru, memikul ilmu antara sekadar menyampaikan atau memberikan kefahaman kepada murid.

Sahabat, apa kaitannya dengan perbualan diatas? Ya peranan seorang guru pendidikan islam, kita mendidik kita mengharapkan murid supaya terdidik, sebab itu jika kita dilontarkan berbagai persoalan oleh murid-murid kita perlu menjawab dengan memberi kefahaman kepada mereka dengan sewajarnya sebagai seorang yang mengajar subjek agama islam.

Terbit rasa bersalah, ya, kerana aku tidak sempat untuk menghuraikan dengan lebih terperinci tentang persoalan murid itu tadi. Beza, berbeza  sangat berbeza antara didikan ibu ayah serta didikan seorang guru, jika di rumah para murid lebih cenderung untuk bertanya kepada ibu ayah segala persoalan yang bermain di minda termasuklah bab-bab ilmu agama ini, jadi sangat penting bagi ibu bapa untuk menerapkan ilmu agama di dalam diri masing-masing, kerana anak-anak ni jika kita tersalah acuan dalam mendidiknya maka salahlah pemahamannya.

Bagi guru pula, jika di sekolah guru-guru lebih cenderung untuk memberi kefahaman dan persoalan kepada murid-murid, maka ini juga merupakan amanah yang sangat berat yang perlu guru-guru tekankan di dalam aktiviti pengajaran seharian, di sekolahlah minda murid-murid sangat terbuka untuk bertanya persoalan-soalan yang pernah ditanya ketika di rumah atau persoalan yang belum ditanya di rumah.

Pernah suatu hari di kelas tahun 2, subjek al-quran, aku bertanya pada seorang murid perempuan, “kenapa Ain tidak bawa tudung, inikan subjek al-quran, kalau nak mengaji perlulah menutup aurat, rambut awak ni aurat”. Tanya aku pada seorang murid. “Ibu tak bagi pakai tudung kalau pakai baju biasa, ibu cakap perlu pakai tudung hanya ketika saya pakai baju kurung sahaja”. Ujarnya.

Aku tersentak seketika, jika beginilah didikan yang murid-murid dapat di rumah maka begitulah kefahaman yang mereka dapat, tidak salah untuk memberi kelonggaran kepada anak-anak yang masih berumur 8 tahun, tapi salah tetap salah bila memberi didikan yang salah.

Jadi, bila murid berada di sekolah, tugas gurulah pula yang akan membetulkan apa yang salah, menasihati apa yang tersalah, memberikan kefahaman dan juga dorongan kepada para murid untuk terus berusaha dan istiqamah dalam menuntut ilmu.

 

 -----------------------------------------------------------------------

 Inilah,

Secebis pengalaman yang ingin dikongsi,

Sebenarnya, banyak lagi, cuma apa yang penting tugas guru itu sendiri, mendidik, terdidik.

Skop kerjanya ringan jika dilihat dari mata kasar, namun tetap berat dalam memberikan didikan yang betul kepada murid-murid.

Kata sahabat “Allah, sue, opsyen kita guru agama, tugas yang berat, rasa tak layak pula”

Dengan lafaz bismillahirrohmanirrohim, semoga kakiku tidak goyah, sabarku tidak terpadam.

Jika guru mengajar dengan adab,

Murid-murid akan beradab,

Mengukir senyum terkadang ada terkadang tidak,

Itulah bukti guru memikul amanah yang berat,

Semoga Allah memudahkan kefahaman,

Kepada para murid,

Supaya mereka menjadi rajin dan beradab,

Dan,

Semoga Allah mengurniakan Rahmat,

Buat guru-guru yang jauh dan juga dekat.

 

 --------------------------------------------------------------------------------

Guru mendidik, murid terdidik.

Murid bertanya, Guru terdidik.

 

 

#Ilham dari Ilahi

#Tinta dari hati.

 







































































ليست هناك تعليقات:

إرسال تعليق