16.3.2015
Aku memulakan langkah ke kelas UBI dengan berbekalkan beg yang berisi baju..
gigih menahan malu membawa beg sebesar 'penumbuk gajah'..
sekalipun begitu, di dalam hatiku sentiasa tersemat " biarpun beg yang kusandang ke kelas UBI sebesar penumbuk gajah asalkan hatiku penuh dengan istiqamah yang tidak pernah lelah..".
________
Sekali lagi aku merenung kearah jam, "tik tok,tik tok" sudah pukul 3.30 petang. Hatiku gelisah memikirkan bas perdana yang ku naiki. Sampai di blok asrama, aku menekan nombor telefon kakak senior kak Iqin namanya, "Su,ada mana"? soal k.Iqin dengan penuh kelembutan."kejap k.Iqin". Jawabku dengan penuh kelam dan kabut.
Suasana petang itu sungguh sunyi sepi, aku menuju ke kereta kak Khai ( singkatan bagi nama Khairiyah) hebat singkatan bagi namanya kan. "masuklah Su". Pelawa kak Iqin sambil tangan dan matanya ligat serta khusyuk memerhati telefon galaxy note. Aku memenuhi ruang belakang kereta kak Khai. Kak Iqin mula memecut kereta yang berkuasa turbo milik kak Khai dengan penuh cermat dan istiqamah. "trekkkk,trekkk,trek trek", tiba-tiba kereta berkuasa turbo milik kak Khai berhenti di simpang jalan blok A asrama, dari dinding cermin yang berkaca itu aku lihat tiga orang kakak senior yang dua tahun lebih tua dariku sedang duduk memekuk keletihan di garaj kereta, aku lihat, aku merenung, aku senyum "setianya mereka menunggu sekalipun terpaksa menahan letih yang teramat seusai balik dari kuliah, tabahnya mereka". Bisik hati kecilku .
"Vromm, vromm,vrommmm" , enjin turbo mula dihidupkan, ke MBKT ( terminal bas ) tujuan kami, Sepanjang perjalanan kami dihiburkan dengan cerita-cerita seram dari kak wawa, aku lihat berbagai gelagat dan respon yang ditunjukkan oleh kak Jihah, kak Najaa dan kak Iqin, saling berbalas cerita dengan berbagai bahasa, ada yang dari Sabah, Melaka, Kedah, Terengganu, bermacam rencah dalam perbualan, hatiku senyum ketika itu walau mulut ibarat sudah tertampal atau mungkin sengaja menampal 'pembalut mulut'.
Usai sahaja kereta berkuasa turbo tadi melalui jambatan aku lihat kak Jihah dan kak Najaa sedang nyenyak dibuai mimpi, "letih sangat kot, letih dalam menggali ilmu", bisik hatiku dengan nada yang agak sayu. Sedang kak Wawa masih istiqamah bercerita kepada kak Iqin.
_________
"Trekkk, trekkk,trek tek tek". Kereta berkuasa turbo yang dipandu kak Iqin membrek dengan penuh bergaya. "Su, kirim salam kat kakak ya, Su jangan langkah longkang lagi ya kalau nak langkah juga lebarkan kaki tu dulu, Su hati-hati ya". Belum saja kakiku melangkah keluar dari kereta sudah bertalu-talu nasihat yang diberi kakak senior tadi. "Ya Allah, terima kasih kerana sekali lagi telah menghadirkan insan-insan yang cukup ikhlas dalam membantu". Hatiku berbisik sayu sambil mengukir senyuman yang paling manis buat mereka.
Aku memulakan langkah sebagai seorang musafir jalanan berbekalkan iman dan istiqamah. Ke Hospital Kemaman tujuanku, Sambil bahuku terasa lenguh memikul beg seberat penumbuk gajah aku gagahi jua, perutku kosong tanpa diisi, tekakku kering tanpa air untuk diminum, otakku letih memikirkan perjalanan yang akan ditempuh. "Ya Allah, aku mohon, disaat aku bermusafir sendirian jagailah aku, lindungilah aku, kuatkanlah aku dengan kekuatan yang tak bisa membuatkan aku lemah sepanjang permusafiran ini". Aku berdoa sambil melihat tangan dan kakiku, dua nikmat yang dikurnia olehNya, sangat berharga dan sangat berjasa, hatiku kembali menangis.
Jam sudah menunjukkan pukul 6.15 petang, kelibat mahupun 'batang hidung' bas perdana pun tidak ku nampak, sedangkan bas yang akan ku naiki adalah pada jam 5.15 petang. "Sabar, sabar dan sabar", aku cuba menenangkan hatiku yang semakin terasa letihnya.
Tiba-tiba aku lihat kelibat seorang pak cik bas yang lebih kurang tampannya sedang memekik seperti memberitahu sesuatu. "Adik, tadi adik cakap adik naik bas perdana kang, pukul 5.30 kang"?. Soal seorang pak cik kereta sewa yang sedang duduk berhampiran denganku. "ya, bas perdana tapi belum sampai lagi". Jawabku dengan penuh kekesalan yang teramat. "Cuba adik pergi kat pak cik yang sedang memekik tu, pak cik dengar dia cakap macam bas perdana rosak". Jelas pak cik itu dengan penuh kekalutan. "hah, terima kasih pak cik", aku terpaksa membuka langkah seribu bagi mendapatkan pak cik bas itu.
"Pak Cik, bas perdana yang menghala ke terminal bas Kuantan rosak ke"? soalku dengan penuh tanda tanya. "Ya dik, adik naik bas ni ya". Pelawa Pak cik itu sambil mengecop tiket bas yang dihulurku. Aku mengambil tempat duduk yang paling strategik dan selesa bagi menghilangkan rasa penat, dahaga dan lapar. Sepanjang perjalanan, aku terlena sebentar sambil menikmati penghawa dingin yang sangat sejuk melebihi suasana sejuk di negara Korea (hanya pada pandanganku sahaja bukannya penumpang yang lain).
Sedang aku lena dibuai mimpi yang aku kira sampai ke mesir sudah tiba-tiba "debukkk", bunyi bas yang seolah-olah sedang merempuh penghadang jalan mengejutkanku. "Allah, letihnya". Otak dan hatiku meluahkan rasa penat yang teramat manakan tidak dari jam 8.00 pagi sehingga jam 7.30 petang waktu itu badanku masih setia menahan kepenatan bagi permusafiranku ini.
________
Tepat jam 10.55 malam bas yang aku naiki akhirnya tiba di terminal bas Kuantan, aku lihat Kak Long, kak Za ( sepupu) dan mak dik ( ibu saudara ) sedang setia menunggu ketibaanku. Kereta Myvi milik sepupuku memecut laju meninggalkan Terminal bas Kuantan.
Pagi keesokannya, Aku bersiap-siap menuju ke hospital Kemaman. Hatiku berdebar, berdebar menunggu keputusan kakiku yang sebelah ini. nombor 4329 angka giliranku "tring tong, 4329 bilik 5". Angka giliranku dipanggil, aku bergegas ke bilik 5 sambil ditemani kakakku. "Assalamualaikum", sapaku. "Waalaikumussalam, sila duduk, Siti Suraya kan"? , soal doktor lelaki yang baik hati itu sambil menghadiahkan senyuman manisnya. "Ya saya". Jawabku dengan penuh debaran dihati.
"Tengok kaki", pinta doktor itu "Erm, kaki awak ni sudah pulih sepenuhnya", jelasnya lagi. "Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah". Bisik hatiku dengan penuh syukur dan gembira.
_______
Jam 11.30 pagi kereta sepupuku memecut laju ke terminal bas Kemaman. Tujuanku untuk membeli tiket jam 12.00 tengahari ke Kuala Terengganu. Usai sahaja membeli tiket aku terus menaiki bas SP Bumi meninggalkan kak long bersama sepupuku. Aku lihat, aku tatap buat kali terakhir wajah kak long ku, hatiku sebak memikirkan pengorbanannya menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Kuantan semata-mata untuk membawaku ke temujanji di hospital Kemaman. Gigihnya seorang yng bergelar kak long itu kan, aku lihat kak long aku terbayang Umi aku lihat kak long aku terbayang wajah abah. Pengorbanan yang perlu ku balas dengan kejayaan di bumi UniSZA.
Jam 3.30 petang bas yang kunaiki akhirnya tiba di terminal bas Kuala Terengganu, aku lihat ramai warga Terengganu, termasuk juga dari negeri-negeri dan negara lain-lain sedang khusyuk menunggu ketibaan bas yang akan dinaiki mereka.
"3.30, masih awal", aku teliti jam ditangan yang menunjukkan pukul 3.30 petang. Aku menghayunkan kakiku ke surau Paya Bunga (sebuah kompleks berbelakangkan MBKT). Menunaikan solat zohor sementara menunggu bas Cas Ligas yang akan bergerak pada pukul 4.30 petang.
Aku meneruskan langkahku ke stesen MBKT, bas Cas Ligas ke UMT - UniSZA aku naiki. Aku duduk melepaskan lelah. Aku lihat, pak cik bas itu tenang sahaja melayan kerenah setiap penumpang yang bermacam-macam ragam.
"Krehhh, keh keh", pemandu bas Cas Ligas tadi membrek dengan berhati-hati. "terima kasih pak cik". Ucapku dengan penuh syukur kerana telah tiba dengan selamatnya di UniSZA tambahan pula perkhidmatan bas Cas Ligas itu adalah percuma. Aku bergegas pulang ke kolej kediamanku bagi menghilangkan penat dan letih.
_______
Apakah ibrah atau hikmah yang perlu dan mesti kau lihat berdasarkan coretan permusafiranku tadi?
Telitilah tintaku ini : "Jika Allah hendak memberikan kebahagiaan kepada seseorang, ia tidak boleh ditahan oleh apa-apa tangan sekalipun.. jika Allah menghalang kebahagiaan kepada seseorang, ia tidak boleh dihulur oleh apa-apa tangan sekalipun.. jika Allah hendak mempermudahkan urusan kita, maka mudahlah setiap urusan itu walau dalam apa jua ujian dan dugaan sekalipun, dan jika Allah mengatur untuk kita apa yang orang sangka tewas, maka kita akan melihat kemenangan dari sisi Allah.."
Fanzuru bil iman wala takfuru ( maka lihatlah dengan iman dan jangan pula kamu kufur)
#ilham dari Ilahi, tinta dari hati :)
ليست هناك تعليقات:
إرسال تعليق